Selasa, 4 November 2014

Keburukan Internet



1.      Ketidaktepatan Maklumat
Terdapat banyak maklumat yang boleh kita perolehi dari internet.  Namun demikian, adakah semua maklumat tersebut tepat?  Bagaimana kita hendak memastikan sama ada maklumat yang kita terima itu tepat ataupun tidak? Ini memang boleh mengelirukan malah memberi impak yang besar kepada sesetengah pihak.  Terdapat pelbagai golongan yang menggunakan internet dan menyebarkan maklumat mengikut kepentingan diri masing-masing. Ada yang menggunakan internet untuk menabur fitnah bagi tujuan menjatuhkan pihak tertentu. Oleh yang demikian, kita mestilah bijak menilai kesahihan sesuatu maklumat yang diterima.

2.      Virus/Malware/Worm/Trojan
Internet merupakan salah satu sumber yang digunakan untuk menyebarkan segala virus, malware, worm atau trojan.  Pengguna internet perlu mempunyai pengetahuan tentang serangan virus, malware, worm atau trojan untuk memastikan komputer yang digunakan selamat daripada serangan virus dan data selamat daripada diceroboh. Kekurangan ilmu pengetahuan tentang cara-cara menghindari komputer kita daripada serangan virus akan memudahkan komputer tersebut diceroboh. Virus, malware, worm atau trojan ini bukan sahaja menyerang sebuah komputer malah boleh menyerang komputer yang terdapat dalam rangkaian yang sama. Serangan ini akan menyebabkan kerosakan kepada sistem komputer seterusnya akan menganggu prestasi komputer dan juga rangkaian.


3.      Bahan-Bahan yang Tidak Bermoral
Pada masa kini terdapat banyak bahan-bahan yang tidak bermoral seperti gambar-gambar dan video-video yang tidak sesuai ditonton oleh golongan kanak-kanak dan remaja.  Bahan-bahan ini memberi impak yang tidak baik kepada masyarakat secara umumnya. Bahan-bahan begitu mudah didapati di internet. Ibu bapa hendaklah memantau laman-laman web yang diakses oleh anak-anak mereka dan sekiranya perlu, perisian penapisan internet seperti Norton Family, DNS Angel, Bitdefender, Parental Controls, Family Safety dan lain-lain, perlulah dipasang di komputer yang digunakan oleh anak-anak mereka. Ini bagi memudahkan ibu bapa untuk memantau laman-laman web yang diakses oleh anak-anak mereka.

4.      Isu Keselamatan
Pernahkah kita terfikir maklumat peribadi kita yang terdapat di bank, sekolah, universiti, jabatan-jabatan kerajaan selamat daripada diakses oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab?  Bagaimanakah tahap keselamatan yang terdapat di dalam pelayan-pelayan yang menyimpan data-data kita?  Pelayan yang mudah digodam oleh para penggodam boleh menyebabkan segala maklumat peribadi dan data-data sulit jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab.  Tahap keselamatan dalam mengakses ke pelayan dan sistem sekuriti rangkaian haruslah dipertingkatkan serta dikemaskini dari semasa ke semasa.

5.      Pembaziran Masa dan Melalaikan
Pembaziran masa berlaku sekiranya terlampau lama bermain permainan dalam talian, sembang maya dan melayari laman-laman yang tidak berfaedah.  Aktiviti-aktiviti ini boleh dilakukan tetapi masa yang diperuntukkan mestilah dihadkan.  Laman sosial facebook sahaja mempunyai pelbagai aplikasi yang boleh diguna seperti permainan dan sembang maya.  Sesetengah syarikat menyekat akses ke laman tersebut kerana boleh mengurangkan produktiviti pekerja terhadap kerja mereka.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan